KUCHING: Sarawak memperuntukkan RM13.6 bilion dalam Belanjawan Negeri 2024 yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Belanjawan itu meningkat sebanyak 18 peratus berbanding RM11.5 bilion yang diperuntukkan untuk pebelanjaan mengurus dan pembangunan negeri bagi 2023.
Menurut Abang Johari, belanjawan terbabit akan terus bertindak sebagai Pengembangan Belanjawan yang akan merancakkan perbelanjaan kerajaan bagi meransang pertumbuhan ekonomi negeri.
Bertemakan “Pembangunan Untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu”, beliau berkata bajet itu akan memperuntukkan RM9.04 bilion bagi tujuan pembangunan, manakala RM4.56 bilion bagi perbelanjaan mengurus.
“Ini adalah Belanjawan terbesar yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam sejarah, bukti kejayaan usaha meperkasakan pendapatan dan pengurusan kewangan yang berhemat.
“Dengan ini, kami mengguna pakai kaeadah pengembangan belanjawan melakukan banyak pelaburan dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utamanya,” kata beliau.
Tambah Abang Johari, belanjawan terbabit akan terus memberikan fokus kepada pembangunan di kawasan luar bandar menerusi penubuhan sembilan agensi Pembangunan Wilayah, yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat.
Pada masa, belanjawan itu akan turut memberikan bantuan kos sara hidup di beberapa kawasan untuk mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan bersasar dan terus melaksanakan program serta projek penting untuk manfaat rakyat.