comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak tuntut keputusan Kerajaan Persekutuan terdahulu dilaksanakan  – Awang Tengah

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Kerajaan Sarawak menuntut Kerajaan Persekutuan yang baharu meneruskan beberapa perkara yang secara prinsipnya sudah diberi perhatian oleh kerajaan terdahulu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata antara perkara yang diberi penekanan dan dikemukakan ke perhatian Kerajaan Persekutuan adalah semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak juga berharap agar Kerajaan Persekutuan yang baharu akan meneruskan rundingan mengenai perkara itu termasuk menerima formula yang dikemukakan.

“Kerajaan Sarawak juga menuntut agar tanah yang direzabkan untuk kegunaan Persekutuan  diserahkan semula apabila ia tidak dibangunkan melebihi lima tahun.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Sarawak, agar perkara ini dapat dimuktamadkan dengan segera agar penyerahan balik ini dapat dilaksanakan dan kawasan-kawasan ini dapat dibangunkan untuk kemudahan rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Awang Tengah berkata, Sarawak turut menuntut pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 agar dapat melaksanakan projek-projek Persekutuan di Sarawak dengan lebih efisien.

Selain itu katanya, kerajaan Sarawak masih berpandangan
pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak dapat diinstitusikan dan pindaan sewajarnya dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan agar persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri diperoleh terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Pelantikan wakil kerajaan Sarawak sebagai anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu, namun Kerajaan Sarawak berharap agar ia diteruskan dan dilaksanakan dengan segera seperti terkandung dalam Perenggan 24, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan supaya tuntutan pertambahan perjawatan negeri Sarawak dapat dilaksanakan agar Perkhidmatan Awam Negeri dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat,” katanya.

Mengenai penambahan Ahli Dewan Rakyat, Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak mengusulkan pertambahan untuk Sabah dan Sarawak dipertingkatkan hingga 35 peratus.

“Perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu, justeru perkara ini hendaklah dilaksanakan bagi memastikan satu representasi yang seimbang selaras dengan semangat dan tujuan asal pembentukan Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak juga akan terus menyuarakan beberapa perkara yang menjadi kepentingan Sarawak termasuklah isu mengenai duti setem, obligasi Kerajaan Persekutuan di bawah senarai bersama dan pemberian kuasa mengenai alam sekitar selari dengan peruntukan perundangan bagi mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis selama ini.

“Kerajaan Persekutuan yang lalu sudah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan keselamatan sempadan termasuk perancangan Joint Border Development di Tebedu-Entikong dan Ba’ Kelalan-Long Midang. Saya berharap ini akan dapat diperinci dan dilaksanakan,” katanya.

Loading...
Terkini