KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) susulan banjir luar biasa yang melanda negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, peruntukan berkenaan akan diagihkan ke semua kawasan yang terjejas bagi mempertingkatkan usaha bantuan.
“Banyak kawasan di seluruh Sarawak kini terjejas oleh banjir berikutan cuaca yang tidak menentu.
“Justeru, kerajaan Sarawak menambah peruntukan kepada JPBN untuk mereka membantu semua kawasan yang terjejas,” katanya pada sidang media di Miri, sebentar tadi.
Abang Johari berkata, JPBN mempunyai peruntukan mencukupi bagi melaksanakan misi bantuan, namun ia perlu ditambah untuk meningkatkan lagi keupayaan menangani bencana itu.
Menurutnya, banjir luar biasa yang melanda Sarawak ketika ini tiada kaitan dengan masalah sistem perparitan sebaliknya ia adalah perubahan iklim.
“Banjir yang melanda hampir keseluruhan kawasan di Sarawak berlaku disebabkan taburan hujan luar biasa sejak beberapa hari lalu.
“Hujan berterusan kemudian bertembung pula dengan air pasang besar. Apabila dua ini bertembung, paras air meningkat mendadak dan ini adalah bukti kesan perubahan iklim,” katanya.
Beliau turut menghargai sumbangan Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan RM24 juta kepada Sabah dan Sarawak untuk menangani kesan selepas banjir.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang mengumumkan peruntukan itu untuk membaiki kerosakan infrastruktur.
“Dengan jumlah yang diumumkan, bermakna Sarawak dan Sarawak masing-masing mendapat RM12 juta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.