Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan khusus bernilai RM1.7 juta kepada Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) untuk mendapatkan peralatan berteknologi tinggi bagi mengesan penyeludupan dadah ke negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dengan peruntukan itu OSC yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan dibekalkan teknologi terkini untuk mengesan penyeludupan dadah masuk ke Sarawak menerusi lapangan terbang.
Jelasnya, Sarawak sering dijadikan sebagai laluan transit sindiket pengedaran dadah sebelum dibawa masuk ke negara jiran.
Justeru, katanya usaha sedang dilakukan untuk melengkapkan setiap lapangan terbang domestik di wilayah itu dengan alat pengesan dadah yang boleh digunakan pihak berkuasa mengesan kemasukan bahan terlarang terbabit.
“Kebanyakan lapangan terbang domestik kita tidak dilengkapi dengan peralatan terkini untuk tujuan itu, sebagai contoh pengedar dadah bawa dadah guna Lapangan Terbang Limbang dia datang sini guna saluran domestik.
“Oleh demikian, kita kena meningkatkan tahap keselamatan lapangan terbang domestik kita dan sebab itulah saya mahu bantu semua lapangan terbang kita untuk dilengkapi dengan perkara ini termasuk dengan kamera pengesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Khas Narkotik di sini, hari ini.
Jelas Tan Sri Abang Johari, bantuan sama juga turut disalurkan kepada agensi penguatkuasaan lain bagi membolehkan sebarang tugas pemantauan khususnya di pintu masuk negara dapat dilakukan dengan efektif.
Ujar beliau, dalam aspek pemberantasan dadah, agensi penguatkuasa harus memanfaatkan kewujudan teknologi terkini agar tidak ketinggalan dalam aspek membanteras jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.