KUCHING: Sarawak memerlukan sebanyak 21 buah balai bomba baharu pelbagai kategori bagi menampung keperluan sebarang bentuk situasi kecemasan terutamanya di kawasan luar bandar.
Penambahan jumlah itu penting bagi mencapai jumlah ideal untuk balai bomba di Sarawak sebagai tambahan kepada 39 balai sedia ada.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata negeri itu memerlukan sekurang-kurangnya 60 buah balai bomba di seluruh negeri itu.
“Jumlah balai bomba itu adalah ideal berdasarkan keluasan Sarawak untuk membolehkan pasukan JBPM melaksanakan tugas dengan lebih efisien khususnya di luar bandar, dan terpencil yang sukar diakses dalam kadar segera,” katanya.
Beliau berkata, kaedah penentuan jumlah bagi pembinaan balai bomba baharu di Semenanjung Malaysia tidak sesuai untuk diguna pakai di Sarawak yang mempunyai keluasan lebih 120,000 kilometer persegi, selain faktor geografi yang mencabar bagi kaedah pengurusan kecemasan.
“Kamus bagi pembinaan balai di negeri Sarawak tidak seharusnya mengikut kamus yang ada di semanjung, maknanya kita kena beri pertimbangan khas.
“Perkara ini telah pun saya utarakan kepada kerajaan persekutuan sebab kebakaran tidak pilih sama ada kita Kerajaan Persekutuan atau negeri. sama ada kita parti politik membangkang atau tidak, kebakaran akan dialami oleh semua orang,” katanya.ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri 2023, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, keperluan mengenai balai bomba itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Perumahan Dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk dipertimbangkan.
Justeru, beliau berharap perkara itu diberikan perhatian oleh kementerian itu memandangkan keperluan berkenaan amat mendesak terutama di kawasan luar bandar yang jauh daripada balai bomba terdekat.
Pada masa sama, beliau turut menyeru agar perhatian juga diberikan untuk menaiktaraf status Bomba sukarela kepada Balai Bomba Kategori E memandangkan pasukan berkenaan berupaya memberikan bantuan kecemasan secara efisien dan pantas sebelum ketibaan pasukan bomba.