Tumpuan :
Nasional

Sarawak perhalusi Peta Hala Tuju EV, cadang masukkan untuk kegunaan pengangkutan air

Datuk Seri Lee Kim Shin ditemui media selepas Persidangan Inovasi dan Teknologi Borneo (BIT) 2025 di Kuching, Sarawak.

KUCHING: Sarawak akan memperhalusi Peta Hala Tuju bagi kenderaan elektrik (EV) di wilayah itu termasuk cadangan untuk memasukan kegunaannya dalam sektor pengangkutan air.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, cadangan terbabit masih di peringkat awal dan perbincangan sedang dilaksanakan dengan beberapa pemain industri berkenaan.

“Saya fikir ia masih di peringkat awal dan dalam proses peralihan, itu sedang kita teliti selain kita perlu berkerjasama dengan pihak industri.

“Maka sebab itu kita agak gembira hari ini dapat bersua terus dengan pemain industri terutamanya berkaitan kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Inovasi dan Teknologi Borneo (BIT) 2025 di Kuching.

Dalam pada itu, Kim Shin menjelaskan ketika ini tiada sasaran ditetapkan untuk jumlah stesen pengecas bagi kenderaan elektrik di seluruh negeri berkenaan.

Ini kerana, trend penggunaan kenderaan jenis itu masih rendah di Sarawak dan penetapan jumlah stesen pengecas itu akan ditentukan dengan melihat kepada trend penggunaan kenderaan itu pada masa hadapan.

Bagaimanapun Sarawak katanya, akan terus mengembangkan peta hala tuju berkenaan ke arah masa depan yang lebih hijau dan inovatif serta diterima pakai dengan lebih meluas.

Peta hala tuju berkenaan juga jelasnya bertindak sebagai komitmen Sarawak terhadap mobiliti dan pengangkutan mampan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini