Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Sarawak Optimis mampu mencapai sasaran kemasukan 3 juta pelancong ke negeri itu menjelang penghujung tahun ini.
Keyakinan itu berdasarkan jumlah kemasukan pelancong bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini yang sudah mencapai 2.6 juta orang.
Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagi tempoh berkenaan, seramai 1.4 juta pelancong asing memasuki negeri itu berbanding hanya 206, 328 tahun lalu.
Manakala jumlah kemasukan pelancong domestik pula adalah seramai 1.2 juta, peningkatan sebanyak 70.57 peratus berbanding 691,575 pelancong bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah penerimaan pelancong Sarawak dari Januari hingga Ogos tahun ini adalah RM6.58 bilion manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022 adalah RM2.12 bilion.
” Jadi ia peningkatan sebanyak 210.38 peratus dan di sini kita dapat melihat industri perlancongan di Sarawak mulai memulih,” katanya
Beliau Berkata demikian pada sidang media Sarawak Regatta dan Festival Tebingan Kuching 2023 di Kuching.
Bagaimanapun menurut Datuk Seri Abdul Karim, jumlah kemasukan pelancong yang dicapai itu tidak akan membuatkan Kementeriannya mengubah sasaran 3 juta pelancong yang ditetapkan sebelum ini.
Tegas beliau, sebarang sasaran baharu kemasukkan pelancong ke Sarawak hanya akan di tetapkan pada penghujung tahun ini selepas sasaran 3 juta pelancong itu telah berjaya dicapai.