Tumpuan :
Nasional

Sarawak negeri tertinggi terima guru baharu

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Seramai 13,749 orang guru baharu lantikan tetap dan kontrak telah ditempatkan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata daripada jumlah itu, Sarawak merupakan negeri tertinggi yang menerima bilangan guru baharu iaitu seramai 1,697 orang.

Menurut beliau, pengisian guru juga telah berjaya ditingkatkan kepada 98.6 peratus selepas urusan pengambilan khas Sarawak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai, semalam.

“Sehingga 30 November 2024, jumlah pengisian guru di Sarawak adalah seramai 41,125 orang guru dari 43,334 perjawatan dengan jumlah kekosongan guru adalah 2,209 orang.

“Peratus pengisian guru adalah sebanyak 94.9 peratus khusus bagi menangani isu kekurangan guru di Sarawak. SPP juga telah bersetuju dengan cadangan KPM untuk melaksanakan pengambilan khas Sarawak tahun 2024,” katanya.

Tambah beliau, nisbah guru dan murid adalah berdasarkan penempatan murid di sesebuah negeri, daerah dan sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu kementerian akan memperluaskan inisiatif pengambilan guru dalam kalangan graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan luar negara bagi mengisi jurang kekurangan guru di sekolah kerajaan.

Ia adalah rancangan jangka masa pendek yang akan dilaksana kementerian itu.

KPM juga akan melaksanakan pelantikan guru secara kontrak dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

“Justeru, guru-guru lantikan kontrak ini atau ‘contract of service (COS)’ akan dipersiapkan dengan ilmu kemahiran dan sikap yang sesuai melalui program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkenaan langkah-langkah yang diambil kementerian pendidikan untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak.

Mengenai langkah jangka panjang bagi menangani isu kesenjangan guru, Fadhlina berkata, pihaknya melaksanakan pengambilan guru bagi program pra perkhidmatan lepasan STPM, STAM dan program matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini.

Kementerian juga menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru, berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar kokurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini