![](https://media.buletintv3.my/2025/02/JOHARI-OPENG.jpg)
KUCHING: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada MASwings, telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan kerajaan Sarawak bagi pemindahan pemilikan MASwings.
Dalam kenyataan rasmi, MAG memaklumkan bahawa langkah ini susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 27 Oktober 2023 bersama kerajaan Sarawak dan Hornbill Skyways.
“Pemindahan pemilikan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, dengan MAG bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pemegang sahamnya, Khazanah Nasional Bhd, bagi memastikan peralihan yang lancar serta mematuhi rangka kerja undang-undang dan peraturan berkaitan.
“Sepanjang tempoh peralihan, MASwings akan terus beroperasi seperti biasa di bawah pengawasan MAG tanpa sebarang gangguan jadual penerbangan, memastikan perkhidmatan kekal lancar bagi komuniti yang bergantung kepadanya,” menurut kenyataan itu.
Selain peralihan ini, MAG menegaskan komitmennya untuk terus mengukuhkan landskap penerbangan negara melalui anak syarikatnya, termasuk Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal, bagi memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam jaringan penghubung serantau dan global.
Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa syarikat penerbangan baharu negeri itu akan dikenali sebagai AirBorneo.
“AirBorneo akan mewujudkan keseimbangan antara keterhubungan, tambang berpatutan, dan manfaat ekonomi. Sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), ia mampu menawarkan pengalaman penerbangan lebih unggul kepada penumpang,” katanya.
Beliau menambah bahawa AirBorneo akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keterhubungan Sarawak, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“AirBorneo akan terus memberi fokus kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) serta secara berperingkat memperluaskan destinasi dalam radius penerbangan empat jam sebelum berkembang lebih jauh bergantung kepada permintaan pasaran pelancongan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.