comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak laksana pengiraaan jejak karbon dalam penganjuran acara, program

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Persidangan Antarabansa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2024 di Kuching.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan inisiatif pengiraan jejak karbon dalam setiap acara atau program yang dianjurkan di wilayah itu.

Inisiatif itu yang dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat pemula tempatan selaras dengan usaha Sarawak menyediakan laluan jelas dalam pengurangan kesan ketara pelepasan karbon terhadap alam sekitar.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu bukan sahaja bakal menetapkan asas kepada kelestarian dan kemampanan ekonomi digital, malah memberikan inspirasi kepada acara dan industri lain untk mengikut langkah terbabit.

Langkah itu sekali gus meningkatkan reputasi Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bertanggungjawab dan berfikiran kehadapan dalam aspek kemampanan serta kelestarian alam sekitar.

“Melalui kerjasama ini, kami menunjukkan bahawa kemampanan bukan sekadar matlamat, tetapi aspek asas pendekatan kami terhadap pembangunan.

“Bersama-sama, kita membuka jalan untuk inisiatif masa depan yang mengutamakan tanggungjawab ekologi sambil memupuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabansa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2024 di Kuching.

Tan Sri Abang Johari dalam pada itu turut melancarkan Sandbox Teknologi dan Program Risidensi Digital Sarawak (SDRP) bagi menarik lebih ramai bakat global serta pelabur untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pilihan.

Program itu yang dilaksana dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai salah satu destinasi utama nomad digital bagi rantau Asia Tenggara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini