comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak dijangka jadikan sagu alternatif karbohidrat, tak bergantung pada beras

Foto hiasan

KUCHING: Sarawak dijangka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada beras sebagai sumber karbohidrat sebaliknya menjadikan sagu sebagai alternatif.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penyelidikan kini sedang giat dijalankan oleh CRAUN Research Sdn Bhd yang melihat sagu berpotensi menggantikan beras.

Beliau berkata, hasil penyelidikan awal oleh saintis syarikat milik kerajaan Sarawak itu sejak tahun lalu mendapati pati sagu hampir menyamai rasa nasi.

“Penyelidikan yang dijalankan itu akan memberi peluang kepada kita untuk menangani keselamatan makanan selain mencari sumber karbohidrat lain bagi menggantikan beras.

Roland Sagah Wee Inn (duduk tengah) pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. -FOTO: NSTP

“Usaha oleh CRAUN Research Sdn Bhd itu juga akan mempelbagaikan produk sagu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, penyelidikan lanjut masih dijalankan oleh CRAUN Research Sdn Bhd untuk menilai potensi sebenar sagu sebagai sumber karbohidrat utama pada masa depan.

Penanaman sagu di Sarawak bermula sejak awal 1880-an dan kini menjadi antara komoditi perdagangan pertanian utama Sarawak.

Industri sagu di Sarawak ketika ini didominasi sektor pekebun kecil yang menyumbang 92 peratus daripada jumlah anggaran kawasan tanaman seluas 32,329 hektar.

Sarawak adalah pengeksport terbesar tepung sagu dunia dan pada 2020 dengan sejumlah 37,884 tan kanji sagu bernilai RM78.29 juta dieksport ke Semenanjung Malaysia dan Jepun masing-masing sebanyak 51.27 peratus dan 35.47 peratus jumlah isi padu eksport.

Kawasan utama sagu ialah di bahagian Mukah, Betong dan Sarikei dengan pekebun kecil sagu masih bergantung kepada pendekatan penanaman tradisional.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini