Tumpuan :
Nasional

Sarawak bentang belanjawan negeri 2025 bernilai RM15.8 bilion

Tan Sri Abang Johari Abang membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2025 pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Sarawak memperuntukkan RM15.8 bilion dalam Belanjawan Negeri 2025 yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Belanjawan itu meningkat sebanyak 16 peratus berbanding RM13.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri bagi tahun 2024.

Menurut Abang Johari, belanjawan terbabit akan bertindak sebagai pengembangan belanjawan yang antara lain untuk merancakkan perbelanjaan kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.

Bertemakan “Bersama Membina Masa Depan Yang Sejahtera”, belanjawan itu akan memperuntukkan sebanyak RM10.9 bilion bagi tujuan pembangunan, manakala RM4.9 bilion bagi perbelanjaaan mengurus.

“Perbelanjaan awam yang berkesan kekal penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menyampaikan perkhidmatan awam yang penting, dan membiayai pelaburan yang menyokong keperluan semasa dan pembangunan masa depan,” katanya.

Jelas Abang Johari, Belanjawan Negeri 2025 kekal memberi fokus kepada aspek pembangunan luar bandar, projek berimpak tinggi disamping membantu mengurangkan kos sara hidup dengan mengurangkan bebanan kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan bersasar serta terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita mengutamakan perbelanjaan bagi aktiviti produktif berimpak tinggi disamping memastikan program dan projek dilaksanakan dengan cekap,” ujarnya.

Tambah Abang Johari, belanjawan kali ini juga dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM14.2 bilion dengan lebihan berjumlah RM486 juta.

Malah beliau turut menyifatkan Belanjawan 2025 yang dibentangkan kali ini terbesar pernah dibentangkan dalam persidangan DUN Sarawak yang meletakkan pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur disamping kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini