KUCHING: Pihak berkuasa bekalan air di Sarawak mengaktifkan pelan tindakan bagi mengurangkan kesan musim kemarau yang dijangka berlarutan hingga Ogos depan.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, empat pihak berkuasa yang diletakkan dalam keadaan siap siaga ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kuching Utara (LAKU) Management Sdn. Bhd.
Beliau juga meminta pemimpin masyarakat dan pengguna melaporkan segera kejadian tekanan air rendah atau masalah bekalan air di kawasan mereka kepada pihak berkuasa berkenaan.
Menurutnya, empat pihak berkuasa itu juga sudah mempersiapkan 28 lori tangki untuk digerakkan ke kawasan yang terputus bekalan air.
“Lori tangki pada masa ini sedang siap siaga untuk digerakkan ke kawasan terputus bekalan air jika masalah bekalan air berlarutan. Hal ini ketika ini diambil alih di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” kata Julaihi pada Majlis Rumah Terbuka anjuran beliau di sini hari ini.
Aduan itu boleh disampaikan dengan menghubungi JBALB di 082-262211, Lembaga Air Kuching (082-222 222), Lembaga Air Sibu (013-8106311) dan LAKU (085-426626-Miri), (086-318160-Bintulu) dan (085-215 644-Limbang).
Beliau berkata bagi kawasan terjejas, pusat pengumpulan air akan diwujudkan di lokasi strategik yang akan dihebah dan dikemas kini secara berkala.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini dilaporkan berkata rakyat harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan jerebu ekoran cuaca panas dan kering beberapa bulan akan datang.