KUCHING: Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.
Kerajaan terbabit juga bukan sekadar satu gabungan parti-parti politik sebaliknya ia berteraskan prinsip Malaysia Madani.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Prinsip Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan keterangkuman serta semangat kebersamaan ke arah kemakmuran serta kesejahteraan negara.
Jelasnya, hasil hubungan baik Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan di bawah platform kerajaan Perpaduan, Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM5.6 bilion bagi tujuan pembangunan di negeri berkenaan.
“Kita juga akan menggandakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.
Saya yakin hasil kesepakatan dan tekad bersama antara negeri dan pusat, kita akan menerima lebih banyak peruntukan untuk tujuan pembangunan negeri ini” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di Kuching.
KMJG 2023 disertai 35 kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persendirian akan menjelajah dari Kuching hingga ke Lawas.
Tambah Tan Sri Abang Johari, amalan perpaduan dan toleransi yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai latar belakang di Sarawak, membolehkan kestabilan dinikmati seterusnya memastikan ekonomi negeri itu semakin melonjak.
Oleh yang demikian katanya, Sarawak telah diangkat untuk menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek kepelbagaian dalam perpaduan yang berpaksikan konsep kebersamaan ‘Segulai Sejalai’.