Tumpuan :
Nasional

Sarawak akan bina 1 PPS kekal di Samarahan

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Kuching, hari ini.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Sarawak akan membina satu pusat pemindahan sementara (PPS) secara kekal berdekatan Sekolah Kebangsaan Beradek, Samarahan sebagai persediaan penempatan mangsa banjir di kawasan sekitar lokasi berkenaan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan PPS terbabit akan menggunakan peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selari dengan hasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sekolah sebagai PPS ketika berlakunya bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Sarawak sebelum ini tidak berdepan masalah ketika membuka PPS sama ada yang menggunakan kemudahan sekolah atau dewan masyarakat.

“Saya rasa untuk membina satu PPS yang kekal adalah satu idea yang bagus kerana kebanyakkan yang kita guna sekarang adalah sekolah, jadi kalau ada sesi persekolahan ia mungkin akan menimbulkan masalah gangguan.

“Seterusnya kita juga akan melihat kepada keperluan yang mana sesuatu tempat itu mempunyai populasi yang ramai seperti di kawasan Batu Kawa yang kerap berlaku banjir, tempat itu mungkin kita akan cadangkan untuk bina satu tempat PPS kekal yang mungkin boleh menempatkan kira-kira 500 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS di Kuching.

Menurut Douglas Uggah, sebanyak 31 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri itu telah diaktifkan sebagai persediaan menghadapi bencana susulan perubahan Monsun Timur Laut (MTL).

Ia bagi memudahkan pengagihan bantuan makanan tepat pada masanya semasa berlakunya bencana akibat perubahan monsun terbabit.

Jelasnya, ketika ini seramai 7,507 kakitangan daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana.

Malah JPBNS juga berkerjasama dengan Persatuan Radio Amatur bagi membolehkan pemakluman dan komunikasi dengan kawasan bencana dapat dilakukan dengan baik terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sekali gus membolehkan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini