Tumpuan :
Artikel

Sarang Burung Walit: Transformasi industri untuk penjanaan kekayaan negara

Foto hiasan. – FOTO: Google

Sarang burung walit (SBW) adalah antara bahan semula jadi yang paling unik di dunia, berasal daripada burung walit yang menggunakan air liurnya untuk membina sarang.

Bahan ini telah digunakan selama berabad-abad dalam perubatan tradisional Asia, khususnya dalam masakan Cina sebagai sup tonik yang dipercayai membawa pelbagai manfaat kesihatan.

Namun, dengan perkembangan sains moden, SBW kini diiktiraf sebagai makanan berfungsi yang mempunyai komponen bioaktif luar biasa iaitu glikoprotein dan asid sialik.

Malaysia, sebagai salah satu pengeluar utama SBW global, berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan potensi besar ini.

Dalam polisi Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE 10-10), SBW memenuhi bidang Niche STIE negara Local Superfood di bawah pemacu sosio-ekonomi air dan makanan, dengan menyumbang kepada kesihatan manusia melalui nilai pemakanan tinggi serta memacu ekonomi melalui potensi eksport yang signifikan.

SBW juga telah dinamakan secara spesifik sebagai komoditi bernilai tinggi (HVC) dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0, di mana eksport SBW Malaysia adalah bernilai RM1.154 bilion pada tahun 2019, dan meningkat kepada RM1.385 bilion pada tahun 2020. Nilai ini terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2021.

Situasi ini menunjukkan bahawa SBW sememangnya merupakan salah satu sumber penjanaan kekayaan kepada negara. Melalui penyelidikan saintifik dan inovasi teknologi, nilai SBW telah ditingkatkan lagi, bukan sahaja dari segi manfaat kesihatan tetapi juga melalui pendekatan lestari yang memaksimumkan kegunaannya.

Glikoprotein dan Asid Sialik: Komponen Bioaktif dalam SBW

Salah satu kandungan utama SBW ialah glikoprotein, yang terdiri daripada protein dan karbohidrat.

Komponen ini dikenali kerana pelbagai sifat bioaktifnya, termasuk antioksidan, antiinflamasi, dan antihipertensi.

Melalui teknologi hidrolisis enzimatik, saintis dapat memecahkan struktur glikoprotein yang kompleks kepada bentuk larut air yang lebih mudah diserap oleh tubuh manusia.

Glikoprotein larut air ini menunjukkan keupayaan untuk melindungi sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas, menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam makanan tambahan dan produk kesihatan.

Komponen penting lain dalam SBW ialah asid sialik, iaitu sejenis monosakarida asidik yang memainkan peranan besar dalam kesihatan otak dan sistem imun.

Asid sialik penting dalam perkembangan otak, khususnya untuk fungsi pembelajaran dan memori.

Ia juga berfungsi sebagai agen pelindung terhadap serangan virus dan bakteria, menjadikannya sangat berharga dalam meningkatkan imuniti tubuh manusia.

Inovasi Teknologi: Meningkatkan Keberkesanan dan Kelestarian

Dalam proses menghasilkan sarang berkualiti tinggi di kilang pemprosesan SBW, sejumlah besar sisa yang mengandungi serpihan kecil sarang dan bahan-bahan tidak digunakan seperti bulu burung yang diasingkan daripada SBW mentah juga terhasil. Sebelum ini, sisa ini sering dianggap tidak bernilai dan dibuang, menyebabkan pembaziran sumber.

Namun, dengan penggunaan teknologi hidrolisis enzimatik, sisa ini kini boleh diproses untuk mengekstrak glikoprotein dan asid sialik, memberikan nilai tambah kepada bahan yang sebelum ini dianggap sebagai buangan.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran tetapi juga menyokong kelestarian industri SBW, sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menggalakkan ekonomi mampan.

Manfaat Kesihatan: Makanan Berfungsi untuk Gaya Hidup Moden

SBW kini diiktiraf sebagai makanan berfungsi, iaitu makanan yang memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan.

Selain daripada meningkatkan sistem imun dan menyokong kesihatan otak, SBW juga membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit kardiovaskular.

Sekiranya diambil secara berterusan, SBW telah terbukti meningkatkan daya tahan tubuh, mempercepatkan proses pemulihan selepas sakit, dan menyokong kesihatan kulit.

Glikoprotein dalam SBW juga menunjukkan potensi untuk digunakan dalam mengurangkan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer, menjadikannya bahan yang sangat berpotensi dalam industri farmaseutikal.

Kelestarian dan Masa Depan SBW

Industri SBW bukan sahaja menyediakan manfaat ekonomi tetapi juga memainkan peranan penting dalam kelestarian.

Dengan memanfaatkan sisa industri untuk menghasilkan produk bernilai tinggi, pendekatan ini membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Selain menyumbang kepada ekonomi negara melalui eksport, industri SBW juga mencipta peluang pekerjaan, khususnya di kawasan luar bandar.

Pendekatan holistik yang menggabungkan inovasi teknologi, pengurusan lestari, dan penyelidikan saintifik akan memastikan masa depan SBW sebagai makanan berfungsi yang berdaya saing di peringkat global.

Penulis, Prof Madya Ts Dr Lim Seng Joe merupakan Profesor Madya di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini