
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ahmad Nasaruddin Muhamad dihentikan sementara jam 6.00 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Kuala Terengganu dan Balai Bomba Jalan Kota telah melakukan SAR di muara Sungai Terengganu, lokasi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan kapal.
SAR dilakukan di kawasan permukaan sungai dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut melakukan selaman sambil dibantu Unit Anjing Pengesan K9 JBPM.
Seramai 41 kekuatan dari pelbagai agensi digerakkan dalam operasi itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi tadi di MSET Pulau Duyong, Kuala Terengganu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa, 34, berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.