SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) budak lelaki berumur tujuh tahun, Padli Ambit yang hilang dalam kejadian bot karam di kawasan perairan Pulau Karindingan yang memasuki hari ketiga hari ini, diteruskan kira-kira jam 7 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata operasi pencarian yang dijalankan semalam gagal menemukan sebarang petunjuk positif berikutan keadaan angin kuat selain ombak yang mencecah ketinggian sehingga 4.5 meter.
Beliau berkata operasi pencarian hari ini dibahagikan kepada empat sektor utama membabitkan aset pelbagai agensi dengan keluasan 59 batu nautika.
“Operasi pencarian di Sektor C-1 dan C-2 melibatkan bot APMM iaitu Bangi 11 dan Bangi 10 dengan kekuatan seramai 12 anggota manakala aset Pasukan Polis Marin (PPM) bot RH40 bersama empat anggota ditugaskan melakukan pencarian di Sektor C-3.
Selain itu, operasi pencarian juga turut dibantu enam anggota Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di Sektor C-4, sementara pasukan Bomba dan kakitangan Taman-Taman Sabah masing-masing menjalankan pencarian Sektor Bebas, bermula di Persisiran Selatan Pulau Bum-Bum sehingga ke Tanjung Pantau-Pantau selain Terusan Tando Bulong,” katanya menerusi kenyataan media di sini pagi ini.
Selain itu katanya, pasukan SAR juga diminta supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan angin yang kuat selain ribut di satu dua tempat.
Dalam kejadian Jumaat lalu, bot dinaiki empat mangsa karam selepas dipukul ombak mengakibat seorang budak lelaki, Nasirin Katibin, 7, ditemukan lemas manakala dua mangsa lelaki terselamat iaitu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak terbabit, Ampit Gopek, 25 dan Katibin Husni, 28.