comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanusi mohon maaf jika ada keterlanjuran kata

Oleh: Kumaran Rajamoney

JITRA: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf atas kapasiti peribadi serta kerajaan negeri sekiranya melakukan ucapan kurang sesuai selama berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah.

Ungkapan maaf itu dibuat di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa menteri kabinet ketika berucap sempena penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, di sini hari ini

“Di kesempatan ini, sebagai manusia biasa yang tidak maksum, saya juga ingin memohon maaf bagi pihak diri saya dan Kerajaan Negeri sekiranya selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik, saya ada melakukan ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ (hubungan sesama manusia).. Sebagai insan yang lemah, ketelanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.

“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membela nasib rakyat agar tidak tambah terbeban dengan cabaran semasa,” katanya.

Jelas beliau lagi, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dengan segala yang bersifat politik, sepatutnya hanya berkisar dalam medan itu saja.

“Sebarang perkara bersifat pentadbiran dan pemerintahan pula, harus dijalankan atas landasannya. Ini akan memastikan kita sebagai ahli politik yang diangkat menjadi pemimpin, sentiasa berwaspada serta berhati-hati dalam semua situasi termasuk ketika menyuarakan pandangan dan permintaan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

“Justeru kami di pihak pentadbiran negeri sentiasa mengharapkan supaya negeri ini akan sentiasa diberi perhatian dan tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pimpinan yang hadir dianggap sebagai ‘abang’ yang jauh lebih berpengalaman dalam dunia politik.

“Ini sekadar untuk dijadikan renungan dan muhasabah. Saya amat menghargai pertemuan ini kerana bagi saya, ini adalah momen yang cukup bermakna untuk menyatukan hati kita semua dalam satu perjuangan serta meminimumkan perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sambutan Aidilfitri Madani Tahun 2024 Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu juga, Muhammad Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian terhadap projek pembangunan di negeri ini, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

“Saya juga mengharapkan agar pelan pembangunan yang telah disusun oleh kerajaan negeri di Kedah termasuk Kedah Aerotropolis yang memerlukan kelulusan kerajaan Persekutuan, segera diluluskan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini