BANDAR BAHARU: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).
Beliau berkata maklumat yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar, bersifat mengelirukan serta berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.
Katanya, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.
“Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usahasama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.
Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.
Untuk tuduhan-tuduhan yang tidak benar ini saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang tak kira menteri tak menteri saya akan saman.
Tapi menuduh saya mencuri itu clear cut saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah di daerah Bandar Baharu, di sini, hari ini.
Sanusi berkata demikian bagi mengulas dakwaan Saifuddin yang menyatakan beliau dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.
Semalam, Saifuddin dalam ceramah di Guar Chempedak, Gurun berkata denda itu dikeluarkan tahun lalu oleh PTG Kedah ke atas Sanusi atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi MBI Kedah.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan agar Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.
“Kita kerajaan negeri bukan pejabat di tepi ayaq acaq (air lumpur/sisa). Dia Kementerian Dalam Negeri (KDN) nak buat kerja Kementerian Sumber Asli pula, jaga KDN lagi banyak isu.
Saya sudah terangkan isu ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan saya juga tak pernah terima surat saman atau kompaun, dia sebut saya disaman bukan lagi untuk (modal) berkempen tetapi mempamerkan kejahatannya.
Saya ingat maklumat itu dia curi sebab separuh masak bagi tujuan mengenakan kita dengan jalan yang salah. Menteri KDN tak boleh buat kerja begitu, buatlah kerja ikut saluran undang-undang, ada agensi dan jabatan. Jangan curi maklumat kerajaan pi sebut dalam ceramah,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta ada disimpan di dalam simpanan tetap kerajaan negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
“Tidak ada langsung salah guna peruntukan sepertimana yang disebut oleh menteri. Jika ada salah laku sudah tentu perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.
Apa yang dibangkitkan oleh (Ketua) Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum tahun 2014. Jika hendak dikatakan menyalahi tata kelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran kerajaan saya,” katanya.