SIK: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana didakwa memfitnahnya berhubung dua isu berasingan.
Beliau berkata surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa beliau mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menuduhnya menggunakan peruntukkan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.
“Peguam saya sudah e-mel surat tuntutan itu malam ini, esok kita akan sampaikan notis tuntutan itu secara tangan kepada Saifuddin.
Kalau dia tak jawab dalam tempoh diberikan kita akan mulakan proses saman, wajib dah saman, tak boleh biaq (biar) dah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di sini malam tadi.
Ahad lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu dana MARRIS dan REE.
Muhammad Sanusi berkata maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar dan bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah serta bermotifkan politik.
Katanya, beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai semua isu berkenaan dan menasihatkan Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.
Saifuddin dalam kenyataan balasnya berkata bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Muhammad Sanusi berhubung isu dakwaan kecurian REE. Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau mempunyai banyak bukti untuk menyokong dakwaan itu dan akan terus berdiri teguh dengan kenyataannya berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata serangan demi serangan yang dilakukan pimpinan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap beliau adalah kerana mereka mencemburui pencapaian negeri itu.
“Dia (Saifuddin) tuduh saya, dia kata kita lantik jadi Menteri Besar suruh mentadbir negeri bukan menjadi pencuri REE. Dia tuduh saya pencuri REE , kes REE satu. Dan tuduh saya guna peruntukan Marris RM1.6 bilion yang patut jadi duit penyelenggaraan jalan dia kata buat benda lain walaupun duit tu semua dari merdeka lagi, semua tu saya guna untuk buat benda lain.
Dia lunggukkan (longgok) kesalahan menteri menteri besar UMNO sebelum 2014 semuanya atas kepala saya pada hal saya tak tau apa pun. Hang tunggu pudin (Saifuddin), hang tunggu selamat menjawab. dia ingat dia seorang reti (tahu) menyerang?,” katanya.