Tumpuan :
Nasional

Sanggup ‘conteng’ kereta dengan tema kemerdekaan

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 38 (kanan) ditemani isterinya, Tuan Rohaya Tuan Ali, 39 menggunakan teknik dakwat dan airbrush melukis tema Sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada sebuah kereta di Kampung Raja Baran Chendering, Kuala Terengganu. -Foto : NSTP

KUALA TERENGGANU : Semangat kemerdekaan dan cintakan negara mendorong seorang suri rumah  menjadikan kereta miliknya ‘diconteng’ dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Farah Yasril, 32, berkata  idea berkenaan adalah daripada suaminya, Tuan Muhamad Tuan Ali, 35.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, sebelum ini dia pernah membuat tempahan menconteng kereta Perodua Viva miliknya dengan pelukis, Mohd Rozamil Mohd Yatim, 38, atau lebih dikenali Zameer Pentbrush.

“Kali pertama saya membuat tempahan menconteng kereta dengan tema Hari Raya Aidifitri lalu dan ia mampu bertahan selama dua bulan”, katanya ketika ditemui di rumah Mohd Rozamil di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini.

Justeru, kali ini dengan kos RM1500, Farah sekali lagi mahu mencari kelainan.

Menurut Farah, dia tidak berasa malu membawa kereta yang ‘diconteng’, malah berasa bangga apabila kenderaannya melambangkan erti memupuk semangat patriotik.

“Sebelum ini, saya hanya menggantung atau memasang bendera jalur gemilang pada kenderaan setiap kali menyambut bulan kemerdekaan,”ujarnya.

Sementara itu, Mohd Rozamil berkata dia mengambil masa paling cepat dua hari hingga seminggu untuk menyiapkan lukisan pada sebuah kenderaan.

Menurutnya, sepanjang bulan kemerdekaan, kebanyakan tempahan melibatkan lukisan jalur gemilang di bonet kenderaan.

“Permintaan bulan ini saja, saya menerima tempahan melukis tema kemerdekaan untuk sebuah kereta manakala tiga buah kereta membuat jalur gemilang di bonet depan.

“Selain itu, saya juga menerima tempahan jalur gemilang pada empat biji topi milik pelumba berkuda dari negeri ini yang menyertai kejohanan di Perancis minggu lalu.

“Kos yang dikenakan untuk melukis di bahagian bonet depan antara RM800 hingga RM1,500 manakala contengan sebuah kenderaan antara RM1,500 hingga RM3,000,” katanya yang aktif dalam bidang ini sejak 2005.

Loading...
Terkini