Oleh Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) hari ini mengesahkan sampel atlet olahraga dalam Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 didapati positif atau Adverse Analytical Finding (AAF) bahan terlarang.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pengesahan keputusan itu diterima dari Makmal Anti-Doping di Doha, Qatar (ADLQ).
Sampel atlet olahraga berkenaan yang tidak didedahkan identitinya menemui bahan terlarang dalam kelas S.6 Stimulants- sibutramine.
Sibutramine adalah bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti Doping Antarabangsa (WADA).
“Atlet akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.
“Dalam tempoh ini, atlet akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaan beliau.
“Keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Prinsip kebertanggungjawaban mutlak atau Principle of Strict Liability adalah terpakai kepada atlet.
Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan/atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.
Justeru, adalah penting untuk atlet dan Kakitangan Sokongan Atlet mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia.
Pihak ADAMAS akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada ADAMAS Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM).