Tumpuan :
Gaya Hidup

Sambutan Thaipusam di Sabah meriah, bentuk sebahagian keunikan tempatan

Oleh: Safwan Sawi

PENAMPANG: Tidak seperti sambutan besar-besaran di Semenanjung Malaysia, perayaan sambutan Thaipusam di Sabah walaupun dirai dalam skala yang kecil namun tetap memaparkan keunikan tersendiri serta pengalaman berbeza.

Meskipun kaum India merupakan populasi minoriti berbanding etnik lain di Sabah namun ia tidak terlepas dalam sesebuah pembentukan masyarakat majmuk dan berbilang kaum di Malaysia.

Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi, di sini antara lokasi utama bagi sambutan peringkat negeri Sabah esok sudah membuat persiapan selain ia turut disambut di beberapa daerah seperti di Tawau, Keningau dan Lahad Datu.

Ada yang sudah membina kelaurga dan berumah tangga dengan masyarakat tempatan, bermastautin lebih 20 tahun namun kebanyakkan masyarakat kaum India di sini berhijrah dari semenanjung atas faktor pekerjaan.

Bagi Pakar Bedah Hospital swasta di Kota Kinabalu, Datuk Dr. R Krishnan Sri Ram berkata masyarakat di sini saling hormat menghormati antara satu sama lain sekaligus menjadikan Sabah kekal sebagai antara negeri yang mempunyai semangat toleransi kaum yang tinggi di negara ini.

“Di Sabah saya tidak risau kerana masyarakatnya sangat terbuka. Rakyat Sabah menerima kami sekeluarga tidak membanding-banding tentang agama. Setahu saya sudah 20 tahun di sini tidak ada masalah untuk amalkan apa yang kami percaya,” katanya ketika ditemui menjelang kemuncak sambutan Thaipusam.

Jawatankuasa Sambutan Thaipusam Peringkat Sabah, Datuk Dr. G. Mohan A. Gopal Naidoo berharap acara kemuncak yang disambut esok berjalan lancar serta terkawal dengan adanya kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kami anggarkan setiap tahun dalam lingkungan pada masa puncak 800 hingga ke 1,000 orang begitu juga dengan tahun ini pun kami harapkan dalam sekitar angka yang sama bukan sahaja para penganut dari sekitar Kota Kinabalu tetapi dari seluruh negeri sabah termasuk Labuan pun ada datang ke sini semasa sambutan Thaipusam,” katanya.

Tambahnya acara perarakan akan bermula di Pantai Lok Kawi sejauh kira-kira dua kilometer sehingga ke Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi.

Seperti juga tarikan popular di Batu Caves, Timbalan Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi, Dr. Barathi Devi Weeran mengalu-alukan penduduk sekitar serta orang ramai yang tidak pernah menyaksikan secara lebih dekat sambutan itu untuk sama memeriahkan sambutan Thaipusam esok.

“Perayaan Thaipusam ini popular di semenanjung selalu dikaitkan di Batu Caves, Selangor dan di Ipoh, Perak tapi di Sabah sebenarnya ada dua kuil khas juga merayakan Thaipusam di sini dan juga di Tawau serta Labuan sekali,

“Tetapi sayangnya tidak termasuk dalam kelender pelancongan Sabah jadi saya harap akan datang perayaan seperti ini akan dimasukkan dalam kelender tersebut supaya lebih ramai pelancong datang dan pengunjung memahami adat kaum India,” katanya.

Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil untuk memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Pada sambutan Thaipusam, penganut akan hadir untuk upacara sembahyang selain perarakan membawa kavadi termasuk belanga susu atau paal kudam, sebagai sembahan kepada Dewa Thirumurugan, dewa kebijaksanaan, kemenangan dan kekuatan masyarakat Hindu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini