GEORGE TOWN: Setelah dua tahun diraikan dalam skala kecil berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat disebabkan pandemik COVID-19, sambutan Thaipusam tahun ini disambut meriah dengan kehadiran ratusan ribu orang termasuk pelancong asing di Pulau Pinang.
Thaipusam yang dirai pada bulan ‘Thai’, bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, disambut meriah oleh jutaan penganut agama Hindu sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan.
Selain perarakan membawa Arca Dewa Murugan, upacara memecah buah kelapa oleh penganut agama Hindu dan pelancong asing yang tidak mahu melepaskan peluang juga rancak dilakukan sebagai persediaan merayakan Thaipusam yang akan disambut esok.
Upacara diadakan di sekitar jalan utama di George Town dan juga Jalan Datuk Keramat hingga kuil Jalan Kebun Bunga dengan tujuan menyucikan diri.
Esok, penganut agama Hindu akan membawa pelbagai jenis kavadi ke Kuil Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit Jalan Kebun Bunga bagi membayar nazar dan mendapat restu daripada Dewa Murugan.
Bagi penganut Hindu, peluang menghadiri upacara keagamaan itu digunakan untuk menyempurnakan nazar masing-masing dengan membawa ‘pal koodam’ (belanga susu) dan kavadi selain memecahkan kelapa serta mencukur kepala sebagai penebus dosa.
Seorang pengunjung R.Sivarataman, 42, berkata dia bersama isteri dan dua anak datang dari Langkawi, Kedah ke Pulau Pinang sejak semalam bagi menyambut Thaipusam pada tahun ini kerana sudah dua tahun tidak meraikannya dengan meriah.
“Thaipusam pada tahun ini memang dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga kerana sudah dua tahun tidak dapat menyambutnya dan sejak Disember lagi saya tempah tiket penerbangan untuk ke sini (Pulau Pinang) malah beberapa keluarga saya yang lain dari Kelantan juga ke Pulau Pinang tahun ini.
“Nampaknya suasana kemeriahan dapat dirasai sejak semalam, ramai penganut Hindu berada di sini dan saya percaya kemuncaknya esok lebih ramai serta meriah,” katanya yang bekerja sebagai pengurus hotel di Langkawi.
Bagi Bhesaj, 38, pula dia datang dari Medan, Indonesia untuk meraikan Thaipusam dan sebelum pandemik COVID-19 memang setiap tahun berkunjung ke Pulau Pinang untuk menyambutnya.
“Di sini meriah dan saya sangat sukakan Thaipusam di Pulau Pinang kerana walaupun kami di Medan juga meraikannya namun tidak seperti di sini yang lebih seronok,” katanya yang tiba di Pulau Pinang pagi tadi dan terus menyertai perarakan membawa pedati emas serta memecah kelapa bagi membayar nazar.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya menjangkakan sebanyak 1.5 juta penganut beragama Hindu bakal membanjiri negeri ini selama tiga hari bermula hari ini bagi acara-acara sembahyang dan juga aktiviti keagamaan lain termasuk menunaikan nazar.
Katanya, sebagaimana meriahnya perayaan-perayaan utama lain di Malaysia, beliau juga berharap untuk melihat Thaipusam disambut dengan penuh pengertian mendalam dalam suasana penuh harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain berlandaskan nilai-nilai perayaan yang memiliki keunikan tersendiri itu.
“Kerajaan negeri ingin mengajak semua pihak untuk memanfaatkan sambutan Thaipusam dengan membulatkan tekad dan keazaman ke arah memperbaiki serta memperkukuhkan semangat perpaduan demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan negeri ini,” katanya yang turut mengadakan tinjauan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong ketika dihubungi memaklumkan perjalanan sambutan Thaipusam hari ini lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Beliau bersama Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain turut membuat tinjuan dengan menunggang basikal di sekitar bandar raya George Town bagi memantau perjalanan Thaipusam hari ini terutama pergerakan pedati emas dan perak.
Untuk perarakan pedati emas, upacara itu bermula seawal 6 pagi hari ini dari Lebuh Queen menuju ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan dijangka tiba paling awal pada 12 tengah malam bergantung kepada keadaan lalu lintas dan kesesakan.
Manakala pedati perak bermula 7 pagi tadi di Kuil Nagarathar Kovil Vidu, Lebuh Penang, membawa arca Dewa Murugan dan dijangka sampai ke pekarangan Kuil Air Terjun pada 1 atau 2 pagi esok dengan perjalanan sejauh 9 kilometer.
— BERNAMA