comscore
Tumpuan :
Nasional

Sambutan Tahun Baharu Cina paling pilu

Waris mangsa, Ling Mung Siang, menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Ketua Balai Bomba Kuala Kubu Bahru, Penolong Penguasa Bomba, Kamil Hamadan, ketika Majlis Penghargaan Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR) Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Wisma Antara Gapi, Laman Gapi Mas, Serendah. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini cukup memilukan buat Ling Mung Siang apabila pertama kali meraikannya tanpa isteri tersayang.

Ini kerana isterinya, Liu Pei Si, 44, terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali di sini, pada 16 Disember tahun lalu.

Ling, 43, yang menetap di Kepong memaklumkan, dia sekeluarga akan menyambut perayaan itu secara sederhana.

“Tahun Baharu Cina kali ini berbeza. Kalau sebelumnya, isteri akan memasak untuk kami.

“Namun, selepas pemergiannya saya mengambil alih tanggungjawab itu dan perlu kuat dalam mengharungi kehidupan seharian,” katanya.

Ling berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan anggota penyelamat tragedi tanah runtuh Batang Kali di Wisma Antara Gapi, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ling amat berterima kasih kepada anggota penyelamat yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi itu selama sembilan hari.

Mengimbau kembali tragedi berkenaan, Ling berkata, anak lelakinya, Ling Zi Xuan, 20, menemani Liu yang juga guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, menyertai perkhemahan di Father’s Organic Farm itu.

“Saya menonton berita dan pada masa sama menerima panggilan daripada pihak sekolah isteri yang bertanya adakah saya mengetahui tragedi itu?

“Saya kemudian berkongsi maklumat kad pengenalan isteri dan anak kepada rakan di Hospital Selayang dan pejabat daerah.

“Saya bersyukur anak berjaya diselamatkan, namun (ketika itu) menjangka isteri mungkin tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan orang ramai menunggu di Hospital Sungai Buloh bagi proses pengecaman mayat, dia juga pergi ke lokasi pada keesokan hari.

“Dari situlah saya sudah tahu isteri antara mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh itu,” katanya.

Loading...
Terkini