KUCHING: Hujan sejak awal pagi tidak menghalang seramai 10,991 peserta membabitkan 248 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 Peringkat Sarawak, hari ini.
Peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah bersedia dengan sepanduk masing-masing seawal jam 6 pagi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud turut menghadiri sambutan terbabit yang diadakan di Padang Merdeka Kuching.
Beliau tiba kira-kira jam 8.45 pagi ditemani isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perarakan bermula jam 9.20 pagi diketuai kontinjen daripada Pejabat Astana Negeri Sarawak.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan perhimpunan yang akan berarak ke kawasan kampung dengan jarak sekitar empat kilometer dan perjalanan meliputi bandar Kuching.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak tahun ini bertemakan ‘Sarawak Makmur Ummah Sejahtera’.
| ARTIKEL BERKAITAN