comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sambutan Krismas tetap dirai sederhana dalam keadaan cuaca tidak menentu

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyempurnakan acara memotong kek sempena Majlis Ramah Mesra Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bersama Usahawan Parlimen Penampang di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Oleh Safwan Sawi

PENAMPANG: Biarpun keadaan cuaca tidak menentu dalam situasi banjir dan fenomena air pasang besar di beberapa kawasan di Sabah namun tidak menghalang Sambutan Krismas dirai masyarakat yang menyambutnya.

Majlis Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick antara acara yang disambut sederhana namun meriah dihadiri kira-kira 7,000 orang pengunjung dari pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

“Kita maklum sekarang adalah musim perayaan sambutan Krismas dan Tahun Baharu, musim cuti sekarang ini keluarga ingin mengambil kesempatan cuti perayaan cuti sekolah bersama keluarga masing-masing tetapi kita maklum keadaan cuaca yang agak mencabar daripada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)”

“Kita ambil tindakan berhati-hati supaya kita dapat berjaga-jaga dan nyawa lebih penting daripada sambutan tetapi dalam keadaan kita masih boleh menyambut sambutan itu kita raikan dengan kesederhanaan dan gunakan kesempatan itu memperkasakan hubungan masyarakat komuniti kita supaya Malaysia ini lebih baik.” katanya.

Tambah Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadaiaman berkata sambutan yang dirai selepas dua tahun berdepan pandemik COVID-19 itu juga amat bermakna – membina hubungan bersama usahawan dan masyarakat dalam mendengar permasalahan mereka secara dekat.

Beliau yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ditemui media pada rumah terbuka berkenaan yang juga program serentak hari kedua Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor; bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok; barisan pimpinan GRS; Pakatan Harapan (PH); UPKO dan pimpinan masyarakat tempatan.

Datuk Seri Hajiji ketika ditemui media turut senada dengan Ewon yang menzahirkan koordinasi pengurusan bencana antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri cukup baik tanpa mengira batasan sempadan.

Ia termasuk bantuan yang akan diberikan kepada lebih 200 mangsa membabitkan 100 rumah yang dilaporkan roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar yang berlaku di dua kampung di Sandakan, malam tadi.

“Koordinasi (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah) cukup baik kerana bencana alam ini adalah berlaku tanpa mengira batasan sempadan ianya dalam negara kita mana-mana yang ditimpa bencana Kerajaan Persekutuan dan Negeri bersama-sama mengambil tindakan yang proaktif dan membantu mereka yang terlibat” katanya.

Majlis Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama usahawan Parlimen Penampang yang bermula 10 pagi hingga 5 petang itu turut melibatkan kira-kira 50 buah reruai agensi kerajaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pelbagai persembahan menarik diadakan sepanjang majlis tersebut termasuk nyanyian dan koir oleh masyarakat setempat.

Loading...
Terkini