MELAKA: Sambutan hari krismas di perkampungan Portugis di Ujong Pasir, di Bandar Hilir disambut sederhana namun meriah dan penuh tradisi oleh masyarakat Serani.
Kemeriahan perayaan hari Natal yang disambut hari ini dirasai apabila setiap rumah dihiasi pokok krismas dan lampu berwarna warni.
Di kawasan sekitar perkampungan itu, hiasan lampu dan pokok krismas serta ucapan dalam bahasa Portugis lama iaitu ’bong natal’ menarik perhatian pengunjung.
Kaum keluarga termasuk di perantauan juga berkumpul untuk makan malam bersama.
Bagi Penasihat Persatuan Warisan Seni Kebudayaan Komuniti Portugis Melaka, Martin Theseira, kepulangan anak dan cucunya tahun ini, memberi seribu erti.
”Kita keturunan Portugis sebagai seorang Kristian memang Krismas is our celebration so bukan portugis ka lain² bangsa ada perbezaan semua adalah sama. Kita tinggal di Malaysia sangat bertuah kerana hidup harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum, agama,” jelasnya.
Antara menu istimewa yang disaji, adalah kari debal, chap chai, chilie pickle atau acar cili dan beberapa jenis kek yang dibuat sendiri.
Sementara itu, anak saudaranya, Vanessa da Costa berkata, perayaan Krismas kali ini amat bermakna selepas dia sekeluarga tidak pulang ke tanah air sejak empat tahun lalu.
Dia kini menetap di Abu Dhabi sejak 20 tahun lalu kerana mengikut suami bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di negara berkenaan.
”So dah 4 tahun kita tak balik sini sebab covid tak celebrate Krismas kat Malaysia so anak saya semua dah abis sekolah dan nak masuk universiti so after this tak tau bila lagi diorang nak balik kat malaysia they always looking forward to come back to Malaysia for Krismas because all the cousin dia punya makcik my mother is here pakcik saudara mara all kat sini so they are happy to come back every year,” katanya.