Tumpuan :
Nasional

Sambutan Hari Malaysia perlu disemarakkan di seluruh negara

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Semangat sambutan Hari Malaysia yang akan disambut esok perlu disemarakkan seluruh rakyat tanpa mengira lokasi atau keberadaan bagi memperingati hari bersejarah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun sambutan akan diadakan di Kuching, Sarawak namun rakyat di semenanjung khususnya di Putrajaya wajib meraikannya dengan semangat yang sama.

“Biarpun majlis itu akan diadakan di Kuching, Sarawak tetapi kita di Semenanjung ini khususnya di Putrajaya wajib untuk menjayakan perayaan ini dengan semangat yang sama dengan rakyat yang berada di Sabah dan Sarawak,”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di Putrajaya.

Tambahnya semangat patriotisme terhadap negara harus diterjemahkan dengan melibatkan komitmen yang tinggi daripada seluruh masyarakat bagi menyemarakkan bukan sahaja sambutan Hari Malaysia malah Hari Kebangsaan.

“Sambutan berkenaan bukan saja untuk menyuburkan semangat patriotisme, malah mampu menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.”

“Semangat patriotk seperti ini yang kita harus lakukan dan terjemahkan untuk memperlihatkan komitmen kita bagi mengisi kemerdekaan di negara ini”katanya

Terdahulu, lebih 1,500 warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memeriahkan Sambutan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 itu.
Kembara berkonsepkan jelajah motosikal yang berlangsung selama empat hari itu merentas lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan berakhir di Putrajaya.

Ia bertujuan mempromosikan program-program jabatan kemajuan masyarakat (KEMAS) kepada umum selain menyemarakkan semangat dan erti sebuah kemerdekaan.

Loading...
Terkini