Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2023 membuka tirai dengan rasminya pagi ini dengan atur cara dan persembahan yang sarat disuntik dengan elemen patriotisme dan menterjemahkan konsep Malaysia MADANI.
Lebih 100,000 pengunjung hadir dengan mengibarkan jalur gemilang mewarnai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sekaligus menyemarakkan lagi semangat patriotik kepada tanah air.
Artikel berkaitan: [KEMAS KINI] Sambutan Hari Kebangsaan 2023: Pelbagai persembahan, perarakan 67 kontinjen meriahkan Dataran Putrajaya
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, Hari Kebangsaan 2023, sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan lebih 17,000 peserta serta 67 kontinjen persembahan dan perarakan 505 aset darat serta udara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba kira-kira jam 7.45 pagi.
Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah jam 8 pagi.
Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku serentak dengan acara menaikkan Jalur yang diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) disusuli 14 das tembakan kehormatan melambangkan 14 negeri di Malaysia.
Bacaan ikrar Rukun Negara kemudian dilaungkan dengan diketuai pemenang pingat emas Kejohanan Asian Bowls 2023 yang juga pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Haikal Roslan.
Sambutan tahun ini dimeriahkan dengan persembahan bertemakan perpaduan dan kesejahteraan dengan olahan baharu lagu ‘Kurik Kundi’ oleh barisan artis tempatan berserta persembahan formasi oleh peserta dari Kementerian Pendidikan (KPM).
Seramai 400 orang, gabungan pemain gendang serta kompang bergabung dengan kira-kira 762 penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan 600 pelajar sekolah bagi memeriahkan lagi sambutan ini.
Irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum berserta dengan empat gendang berpusing dikenali ‘Achun Spinning Drum’ digunakan buat julung kalinya pada sambutan kali ini, mengegarkan Dataran Putrajaya.
Turut memukau pengunjung, persembahan lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield oleh pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior.
Persembahan yang turut mencuri tumpuan adalah acara terjunan tepat payung terjun yang dipersembahkan oleh enam anggota Komando VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kedua-dua persembahan yang mendebarkan mendapat sorakan hadirin malah pembesar negara berdiri memberikan tanda sokongan.
Selain itu, tahun ini juga menyaksikan Kontinjen Perpaduan melibatkan 400 kakitangan pelbagai etnik di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta pelajar universiti mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan.
Ribuan pengunjung turut teruja dengan perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya – Video: NSTP pic.twitter.com/3bWFwMkdfd
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 31, 2023
Pastinya, acara dinanti-nantikan adalah pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya enam pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM yng diterbangkan dengan kelajuan 500 kilometer sejam, selain tiga pesawat F-18D Hornet dan empat BAE Hawk.
Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.