KUALA LUMPUR: Perayaan Deepavali, hari ini diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan, seperti suasana sambutan sebelum pandemik COVID-19.
Selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19, penganut Hindu kini dapat melakukan upacara sembahyang beramai-ramai di kuil dan menganjurkan rumah terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut memeriahkan Deepavali dalam semangat Keluarga Malaysia, dengan menghadiri rumah terbuka Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Tinjauan di beberapa kuil di seluruh negara mendapati, penganut Hindu mula mengunjungi kuil seawal jam 5 pagi bagi upacara sembahyang dengan pakaian berwarna-warni.
Seorang pengunjung Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Seremban, Negeri Sembilan, K Sivalingam, 27, melahirkan rasa gembira kerana dapat melakukan upacara sembahyang di kuil beramai-ramai selepas negara terkesan dengan COVID-19.
Dalam pada itu, Pengerusi Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Raja Selan, 57, menjangkakan 3,000 orang mengunjungi kuil berusia 111 tahun di Johor Bahru, Johor itu hari ini, berbanding hanya 100 hingga 150 orang pada satu-satu masa mengikut SOP sebelum ini.
Kemeriahan sambutan pesta cahaya itu turut dirasai warga Switzerland, Edward McCulhy, 38, yang mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini.
“Saya baru tiba di sini (Malaysia) beberapa hari lepas dan apa yang boleh saya katakan, Malaysia sangat menarik dan berwarna-warni dengan makanan, masyarakat serta perayaannya. Ini peluang untuk saya merasai pengalaman meraikan Deepavali,” katanya yang bercuti di Malaysia selama dua minggu.
N Munisamy, 44, yang ditemui kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Belakang Bomba di Gua Musang, Kelantan berkata, beliau mengadakan rumah terbuka untuk rakan Cina dan Melayu sebelum berkunjung ke rumah rakan serta keluarga lain pada waktu petang.
Lee Man Theng, 41, pula melahirkan rasa gembira apabila dapat menghadiri rumah terbuka Deepavali rakannya itu dan merasai sendiri semangat Keluarga Malaysia.
Di Kota Kinabalu, Sabah pula, lebih 600 masyarakat pelbagai kaum dan agama memeriahkan sambutan Deepavali anjuran Persatuan Kuil Hindu Kota Kinabalu dan Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, dengan pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu.
Sementara itu, sambutan Deepavali sedikit terjejas berikutan penduduk di beberapa kawasan di daerah Kota Setar, Kedah mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.
S Darshini, 33, yang ditemui di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam berkata, keluarganya terpaksa menempah beberapa jenis makanan dan kuih kerana tidak dapat memasaknya sendiri akibat tiada bekalan air di rumah yang terletak di Taman Mergong.
– BERNAMA