Tumpuan :
Nasional

Saman tertunggak kenderaan Thailand: JPJ kutip lebih RM43,000

Foto hiasan

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengutip saman tertunggak bernilai lebih RM43,000 hasil operasi khas kenderaan Thailand yang dilakukan sejak 17 Disember tahun lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, jumlah itu dikutip setakat 2 Januari lalu dan kutipan dijangka terus meningkat seiring operasi berterusan bagi mengesan kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak.

“Sejak 17 Disember hingga 31 Disember tahun lalu, kita mengutip RM29,800 saman tertunggak daripada kenderaan asing.

“Pada 1 dan 2 Januari lalu, jumlah kutipan meningkat RM14,100 menerusi operasi mengesan dan menahan kenderaan Thailand yang mempunyai saman aktif di laluan sering digunakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stien berkata, pemilik kenderaan diminta menyelesaikan semua saman aktif sebelum dibenar meneruskan perjalanan.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dilaporkan berkata, agensi itu akan menggerakkan ‘Ops Tunggak’ di empat negeri sempadan Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak bagi mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang termasuk memiliki saman tertunggak.

Muhammad Kifli ketika itu berkata, kenderaan asing terutama dari Thailand didapati kerap melakukan kesalahan berulang.

Setakat 2 Januari lalu, katanya, dua van negara jiran disita selepas pemandunya gagal menjelaskan tunggakan saman masing-masing RM18,000 dan RM17,700.

“Pada 2024, kami menjalankan pemeriksaan terhadap 9,273 kenderaan dari Thailand berbanding cuma 1,974 pada 2023.

“Tindakan diambil terhadap pemandu warga asing turut meningkat kepada 749 berbanding 265 pada tahun sebelumnya.

“Antara kesalahan sering dilakukan ialah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal.

“Tahun lalu, sebanyak 1,070 kesalahan tiada ICP membabitkan kenderaan dari Thailand dikesan di negeri ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini