Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Tindakan PAS menyamakan kehilangan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang dengan kehilangan tanah penduduk Palestin kepada rejim Zionis adalah tuduhan liar dan tidak berasas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dakwaan oleh PAS itu tidak benar sama sekali.
Malah kata beliau, pada kebanyakan masa pengambilan tanah di negeri itu dilakukan tanpa mengikut kategori kaum.
“Semestinya (tuduhan ini) tidak betul. Satu tuduhan yang liar, yang tidak berasas.
Kita kadang kala tidak simpan statistik mengikut kaum pun, khususnya pemilikan tanah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang, di George Town siang tadi.
Sebelum ini, PAS dalam media sosial rasminya membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin daripada 1.5 peratus pada 1918, sehingga rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.
Ia mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.
Parti komponen Perikatan Nasional itu mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang membuat “rampasan secara sistematik” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.
Seperti Chow, dakwaan itu kemudian turut disanggah pelbagai pihak termasuk Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Menurut Steven Sim, kenyataan PAS menyamakan kerajaan Pulau Pinang dengan penindasan rejim Zionis di Palestin adalah mengecewakan dan boleh mewujudkan persepsi buruk kepada masyarakat.
Beliau berkata kenyataan tersebut bukan sahaja telah menghina perjuangan pembebasan Palestin, malah cuba mencetus ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Jelas, PAS berniat jahat dalam hal ini. Penggunaan data yang meragukan untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pulau Pinang sangat mengecewakan.
“Ia dilakukan ketika kerajaan Pulau Pinang terus berusaha untuk memastikan pembangunan negeri yang lebih adil agar tiada golongan yang tercicir,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, demi kepentingan politik sempit, PAS seakan-akan tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak memainkan polemik agama dan sentimen perkauman.
Sementara itu, gerakan NGO pro-pembebasan Palestin, Boycott Divesment Sanctions (BDS) Malaysia turut menggesa supaya parti politik tidak menyamakan keadaan di Pulau Pinang dengan di Palestin.
“Kenyataan tersebut bukan sahaja salah dari segi fakta sejarah, bahkan sangat berbahaya kerana ia meremehkan kezaliman yang telah berlaku kepada penduduk Palestin selama lebih dari tujuh dekad dan masih berterusan sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tanpa menamakan mana-mana parti politik dan isu semasa dalam kenyataannya itu, BDS Malaysia berkata sebarang usaha untuk menyamakan kesengsaraan warga Palestin dengan keadaan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah amat dikesali dan perlu dihentikan serta-merta.