Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor tidak bersetuju dengan tindakan PAS menyamakan kehilangan tanah milik orang melayu di Pulau Pinang dengan kehilangan tanah penduduk Palestin kepada Israel.
Katanya setiap dakwaan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk pimpinan politik perlu mempunyai asas yang kukuh dan bertanggungjawab.
“Ini macam nak samakan Pulau Pinang dengan Isarel saya tidak setuju sebab saya lama di Penang tidak macam kerajaan Israel bunuh rakyat dia orang Palestin jadi malah kita lihat kebajikan rakyat Penang yang agama Islam dan bukan Islam diberi perhatian”
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Buletin TV3.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan, PAS menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.
Portal itu mendakwa, PAS mengetengahkan isu tersebut di media sosial dan membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin daripada 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.
Menurut artikel itu, PAS mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus dan mendakwa Pulau Pinang membuat ‘rampasan bersistem’ dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.