comscore
Tumpuan :
Nasional

Sama ada MALBATT kekal di Lubnan, MINDEF tunggu keputusan UNIFIL

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 perlu dikeluarkan dari Lubnan susulan ketegangan yang berlaku di negara itu akibat serangan terbaru dilakukan Israel semalam, akan ditentukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini, UNIFIL masih belum membuat keputusan untuk memindahkan mereka, menyebabkan pasukan MALBATT perlu terus berada di Lubnan.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memantau rapat keadaan semasa yang berlaku di Lubnan susulan serangan berterusan Israel ke atas negara itu.

Katanya, semua aktiviti rondaan dihentikan dan anggota diarah berada di ‘bunker’ (kubu) masing-masing jika tidak bertugas.

“Kita sentiasa berhubung dan meletakkan keselamatan anggota kita sebagai keutamaan.

“Selain itu, kita memastikan menerima laporan berterusan daripada Markas Angkatan Bersama dan UNIFIL yang yang bertanggungjawab terhadap pasukan MALBATT di Lubnan.

“Setakat ini, pihak kami menerima laporan antara tiga hingga empat kali sehari daripada Markas Angkatan Bersama mengenai situasi terkini di Lubnan susulan ketegangan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Panglima ATM, Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Pagi ini, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengesahkan dua anggota pengaman mereka cedera ringan akibat tembakan kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika mereka sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontinjen Indonesia di Naqoura, semalam.

Kawasan itu dikenali sebagai ‘blue line’, dipantau pengaman PBB di bawah mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bertujuan mengekalkan kestabilan di Lubnan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini