KOTA KINABALU: Kerajaan dicadang menyalurkan terus peruntukan untuk Pertubuhan Peladang di Sabah dan Sarawak kepada kedua-dua negeri berbanding melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, kaedah itu dapat memastikan bantuan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan disalurkan dengan lebih cepat agar manfaatnya dapat dinikmati segera golongan sasar.
Pendekatan baharu itu juga katanya perlu dilaksanakan mulai tahun depan sejajar kesungguhan kerajaan persekutuan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak.
Cadangan mengenai kaedah penyaluran peruntukan kepada kedua-dua negeri Borneo itu diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah, Jumaat lalu.
“PPN Sabah baru selesai Mesyuarat Agung Tahunan pada Jumaat lalu yang mana semua perwakilan dari 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPN mengusulkan bahawa bermula tahun depan semua peruntukan kepada Sabah dan Sarawak haruslah diberi pertimbangan untuk diberikan terus kepada PPN negeri itu sendiri berbanding sekarang dikendalikan oleh NAFAS.
“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan seperti disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan menimbangkan apa saja untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan MA63,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambahnya, Perdana Menteri pasti memahami keperluan golongan peladang, penternak dan nelayan lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak yang sememangnya memerlukan lebih banyak pembelaan dalam usaha menaikkan taraf hidup mereka.
Menerusi penyaluran terus peruntukan itu katanya, golongan peladang, penternak dan nelayan di Sabah dan Sarawak dapat menerima bantuan disediakan oleh kerajaan dengan lebih cepat berbanding melalui NAFAS ketika ini, di samping menjimatkan belanja kerajaan dari segi kos logistik penghantaran input dari Semenanjung.
“Kita juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri dan kita yakin beliau akan memberi pertimbangan terhadap perkara ini. Kalau ini terlaksana, ia akan mempercepatkan bantuan turun kepada yang menerimanya kerana diproses di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah Kali Ke-35 Tahun 2023 itu, beberapa usul diluluskan perwakilan bagi menambah baik keberkesanan badan berkenaan di negeri ini.
Antaranya, memohon kepada kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menganugerahkan pelaksanaan kerja Kontrak Pembekalan Baja dan Racun di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) di Sabah kepada PPN Sabah.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Negara kekurangan peladang, ramai sudah bersara – Fadilah
- Belanjawan 2024: RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan