Oleh: Kumaran Rajamoney
JITRA: Lebih 12 hektar kawasan sawah di Kampung Lembah dan Kampung Tebing di Napoh, di sini tidak dapat diusahakan berikutan ketiadaan sumber air mencukupi.
Keadaan ini menggusarkan hampir 20 pesawah kerana keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat mengusahakan tanaman padi dan mengalami kelewatan penanaman selama lebih dua bulan.
Menurut seorang petani, Roslan Kasim, 61, mendakwa masalah itu berpunca daripada kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelenggara kawasan saliran dari kawasan tali air berhampiran.
“Lazimnya kawasan saliran dibersihkan dan diselenggara setahun sekali. Namun, selama lebih setahun tiada sebarang kerja penyelengaraan dilakukan menyebabkan saliran menjadi tersumbat dengan semak.”
“Masalah ini sudah dibawa kepada pihak JPS. Kerja pembersihan sudah dimulakan namun hanya sebahagiannya. Cubaan mengepam air dilakukan tetapi tidak berjaya mengairi ke seluruh kawasan,” katanya.
Tambahnya, kerja-kerja mengusahakan sawah kali ini dijangka berdepan kesulitan berikutan penanaman padi tidak sama waktu antara petak sawah berhampiran.
Sementara itu rakannya, Lim Khim Lai, 68, berharap masalah saliran dapat diselesaikan segera, berikutan sudah berhadapan kerugian sewaktu mengusahakan sawah pada musim lalu.
“Kalau tidak petani di sini susah, apa pun tak boleh buat. Musim lepas pun padi tak jadi disebabkan penyakit sampai modal pun tak dapat balik.
“Minta tolonglah supaya saliran di sini dilicinkan kembali agar air dapat mengalir. Kalau kita lihat sekarang, memang nampak rumput dan semak saja,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun, Othman Awang turut menyeru agar JPS mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.
“Kami tak tahu apa masalah di pihak JPS tetapi dalam konteks petani, mereka memang sangat memerlukan air untuk mengusahakan bendang.
“Saya difahamkan, dulu kawasan ini sentiasa diselenggara dengan baik dan sentiasa mengikut jadual tetapi tahun ini agak mengecewakan,” katanya.