Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Saliran tidak diselenggara, 2,000 pesawah lewat tanam padi

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Lebih 2,000 pesawah di sekitar Simpang Empat, Perlis dan Sanglang, Kedah bimbang tidak dapat mengusahakan tanaman padi walaupun musim penanaman telah bermula awal bulan ini, berikutan masalah pengairan.

Mereka yang terjejas melibatkan pesawah dari empat perkampungan di Simpang Empat, Perlis, manakala selebihnya dari Kedah.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, pesawah mengeluh kerana air yang bertakung di dalam petak sawah tidak dapat mengalir keluar gara-gara sungai buang tidak diselenggara dengan baik.

Pesawah mendakwa, saluran air sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah sepatutnya diselenggara oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman ketika meninjau permasalahan dihadapi pesawah berjanji untuk membawa aduan itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

“Dulu dia (MADA) bagi 4 kali setahun untuk cuci sungai ni tapi sekarang 2 kali sahaja dalam setahun. Bila dua kali setahun ni saya tengok memang bermasalah la sistem perparitan di kawasan sungai-sungai ni,” ujar pesawah yang juga Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tok Pulau, Yasirul Hayat Amir Hamzah.

“Cuba tengok sungai ni tersumbat dengan pokok-pokok liar dan kemeling, puncanya kerana tidak diselenggara. Lagi satu, kawasan sini kerap hujan, kalau hujan turun lebat dalam 2 jam sahaja kita perlu masa seminggu untuk air dalam petak sawah tu kering,” kata Ketua Unit PPK Behor Kudung, Razak Seman.

Pesawah yang juga Ketua Peladang Nita kawasan Kerpan, Julina Bidin menunjukkan saluran air yang tidak berjalan gara-gara tersumbat dengan pelbagai tumbuhan

Bagi Ketua Peladang Nita Kerpan, Julina Bidin yang pernah mengalami kerugian akibat bendangnya ditakungi air, dia terpaksa mengeluarkan modal tambahan sendiri untuk mengepam air keluar dari bendangnya.

“Saya buat bendang banyak sampai rugi. Dua musim saya tidak dapat kerjakan bendang sebab tak dapat buang air dari bendang,” katanya ketika ditemui di Sungai Tok Pulau, Simpang Empat, disini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang ditemui ketika meninjau permasalahan dihadapi pesawah berjanji untuk membawa aduan itu kepada pihak tertinggi.

“Saya akan hubungi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.

“Dan pada masa sama saya dah bincang dengan kawan-kawan bahawa Umno Bahagian Arau akan turun dulu membantu membersihkan kawasan yang kita fikir perlu dulu sementara menunggu pihak kerajaan melaksanakan tugas mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, permasalahan itu penting untuk diselesaikan segara agar dapat membantu negara meningkatkan hasil pertanian padi, sekaligus mengurangkan kebergantungan pada beras import.

Loading...
Terkini