KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dikenang sebagai pejuang rakyat terutama dalam isu kenaikan kos sara hidup dengan memperkenal pelbagai inisiatif di bawah ‘Payung Rahmah’.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadisetelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.
Artikel berkaitan: Allahyarham antara sosok penting penubuhan Amanah bermula di Johor – Aminolhuda
Salahuddin meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak.
Dilahirkan pada 1 Dis 1961, Salahuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat di Pontian, Johor dari 1967 hingga 1973 sebelum ke Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976).
Anak kelahiran Tanjung Piai itu kemudian menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Sri Perhentian, juga di Pontian, sehingga tamat tingkatan lima sebelum melanjutkan pengajian dalam tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat.
Selepas menamatkan alam persekolahan, Salahuddin mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1984.
Menyingkap perjalanan politik Allahyarham, beliau bukanlah nama asing dalam arena politik negara dan berjaya menempa nama sehingga dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015.
Salahuddin juga pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari 1981 hingga 1983 sebelum bergiat aktif dalam kancah politik setelah menyertai PAS pada 1983.
Beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam parti itu bermula dengan Naib Yang Dipertua PAS Pontian (1983-1987) hingga yang tertinggi iaitu Naib Presiden PAS Pusat (2009-2015).
Pada 2004, PAS memilih Salahuddin untuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.
Bagaimanapun, Salahuddin bertindak keluar parti dan menyertai Amanah pada 31 Ogos 2015 selepas berlaku konflik dalaman antara ahli PAS ketika itu.
Tiga tahun kemudian, Timbalan Presiden Amanah itu menang bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 atas tiket Pakatan Harapan (PH) serta dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.
Pengerusi PH Johor itu mengulangi kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri pada Mac 2022 dan Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Ketika memegang jawatan itu, Salahuddin melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Salahuddin juga dilihat sentiasa turun padang bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan usaha beliau itu sedikit sebanyak berjaya menurun serta menstabilkan harga barangan asas selain mengurangkan kesan inflasi terhadap pengguna di dalam negara.– BERNAMA