Tumpuan :
Nasional

Salah laku rasuah, tiada yang akan terlepas – Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Isu integriti, salah laku, tatakelola dan ketirisan dilihat masih serius berlaku di negara ini, membabitkan semua pihak walaupun pelbagai usaha membanteras kegiatan itu dilakukan kerajaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berdasarkan tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka yang terbabit.

“Tangkapan dilakukan SPRM membabitkan semua pihak, tiada yang terlepas, orang politik, pegawai kerajaan, orang agama, penjawat awam, hakim…semua ada saham masing-masing dalam perkara itu (rasuah) dan termasuk anggota masyarakat.

“Sebagai contoh orang di bawah ini, mungkin bila pilihan raya, mereka nak duit dan jika tak bagi, mereka tak undi kamu, ini satu bentuk rasuah, sedangkan orang ini yang akan dilantik untuk memimpin.

“Kita jangan salahkan pada peringkat atasan saja (pemimpin), tetapi masyarakat secara keseluruhannya dengan memainkan peranan supaya kita dapat menangani isu rasuah ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah pada Sambutan Hari Integriti Peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Datuk Rozitta Sulaiman dan kira-kira 250 kakitangan pentadbiran negeri.

Ayob Khan berkata, dalam usaha membanteras rasuah, ia tidak boleh memberi keutamaan kepada sesuatu kes yang besar saja, sebaliknya kes kecil juga perlu diberi perhatian.

“Dalam polisi kita, pangkat dan jawatan kita, masing-masing ada peranan, jangan beranggapan kita tidak mampu buat perubahan dan tindakan.

“Jika beranggapan susah nak berubah, struktur tak boleh berubah, ia tidak akan ada perubahan,” katanya.

Ayob Khan berkata, selaku pemimpin, tindakan proaktif perlu diambil dalam membanteras rasuah, namun ada kalangan mereka enggan mengambil tindakan kerana bimbang tidak popular, selain mungkin mereka juga turut terbabit.

“Ada juga orang tidak mengambil rasuah, tetapi tidak berani mengambil tindakan, bagi saya mereka itu tidak boleh jadi pemimpin kerana tiada kekuatan,” katanya.

Sementara itu, beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak proaktif terhadap anggota pasukan itu yang dikesan terbabit rasuah.

Ayob Khan berkata, PDRM sepatutnya lebih dulu mengesan mereka sebelum agensi lain seperti SPRM mengambil tindakan.

“Kalau boleh, polis yang ambil tindakan dari awal lagi, jangan bagi pihak lain ambil tindakan, kerana akan nampak kita (PDRM) tidak proaktif.

“Ada satu kes (rasuah) membabitkan Asisten Superintendan tetapi yang tangkap SPRM, mana nak letak muka kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini