Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
SETIU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyerbu sebuah tapak projek pemuliharaan Muara Sungai Setiu, Kampung Mangkuk, di sini, susulan salah laku penggunaan permit pemilikan diesel.
Hasil serbuan turut merampas 38,500 liter minyak diesel, dua buah lori, dan dua buah skid tank dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM982,035.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan yang dilakukan oleh 12 orang pegawai penguatkuasa KPDN bersama 11 orang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 6.00 petang semalam itu berdasarkan hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati, pihak pemaju yang mengendalikan projek tersebut mempunyai permit yang sah untuk menyimpan minyak diesel.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati alamat tempat simpanan yang tertera pada permit tersebut tidak sama dengan lokasi di mana kejadian berlaku.
Katanya, pemegang permit disyaki telah memindahkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan ke tempat yang tidak berlesen atau diluluskan.
Mengulas lanjut, pemegang permit berkenaan turut disyaki memiliki simpanan diesel melebihi had kuantiti yang dibenarkan di dalam permit.
Dianggarkan sejumlah 23,000 liter diesel berada di dalam lori tangki, manakala 15,500 liter lagi di dalam dua buah skid tank yang ditempatkan di tapak projek tersebut.
Sementara itu, dua orang lelaki warga tempatan disyaki pengurus tapak projek dan pemandu lori berumur 35 dan 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pada masa sama, KPDN turut mengingatkan semua pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.