Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk menamatkan lesen pusat urut yang didapati terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya akan memperhalusi peruntukan undang-undang sedia ada bagi memberhentikan pengeluaran lesen ke atas pusat urut yang melanggar undang-undang.
“Kalau lesen itu merujuk kepada refleksologi kaki, maka itulah khidmat yang sewajarnya ditawarkan. Namun, maklumat yang kita terima ada aktiviti tidak bermoral dijalankan. Jika pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan, polis atau imigresen membawa kepada penemuan kegiatan yang salah, maka lesen tidak akan diperbaharui.”
Datuk Seri Muhammad Sanusi menambah kerajaan negeri dengan kerjasama agensi penguatkuasaan telah menjalankan serbuan baru-baru ini.
Namun, kebocoran maklumat menyebabkan tidak penemuan aktiviti tidak bermoral meskipun suasana dan susunan dalam pusat urut meragukan.
“Aktiviti urut ini bukan menguntungkan kerajaan negeri. Malah kebanyakan pekerjanya adalah dari luar negara. Jadi, menutup operasi pusat urut bukan sesuatu yang merugikan kita.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.