comscore
Tumpuan :
Nasional

Salah guna kuasa: SPRM tahan sepasang suami isteri bantu siasatan

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan sepasang suami isteri kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan mengesyorkan syarikat milik ibubapanya bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.

Menurut sumber, suami terbabit bertugas sebagai pegawai awam negeri manakala syarikat itu diuruskan oleh isterinya.

Tambah sumber itu lagi, kes salah guna kuasa itu dipercayai berlaku sejak 2019 dan melibatkan perolehan kerja yang mencecah kira-kira ratusan ribu ringgit.

Sumber juga berkata SPRM merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan terbabit yang dipercayai berkaitan dengan kes yang disiasat dengan kesemuanya dianggarkan melebihi nilai RM100,000.

Kata sumber tersebut, suspek pertama berusia lewat 30-an ditahan kira-kira jam 6 petang manakala sebelum itu isterinya yang berusia 40-an ditahan kira-kira jam 3.30 petang di pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan siasatan menyeluruh akan dijalankan kemungkinan suspek juga terlibat dengan kerja-kerja perolehan yang lain.

Loading...
Terkini