Tumpuan :
Nasional

Saksi awam ada rakam video perompak larikan emas 4.1kg – Polis

IPOH: Detik kejadian samun membabitkan sejumlah emas yang dilarikan sekumpulan individu di sebuah premis memproses emas di Jalan Bendahara, di sini hari ini sempat dirakam oleh orang ramai yang berada di sekitar.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, suspek terdiri daripada beberapa lelaki yang mengenakan topeng muka dan bersenjatakan parang serta melarikan diri dengan menaiki tiga kenderaan menggunakan nombor pendaftaran disyaki palsu.

Menurutnya, tiga kenderaan yang dinaiki suspek adalah berupa jenis Volvo berwarna putih, BMW warna coklat dan Toyota Estima warna hitam.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua mangsa baru keluar dari sebuah premis perniagaan di lokasi itu dengan membawa beg berisi barang kemas dianggarkan seberat 4.1 kilogram (kg) yang bernilai lebih RM1.5 juta, sebelum tiga kenderaan dinaiki suspek datang menghampiri.

“Semasa hendak menyimpan beg di dalam but kenderaan, suspek itu meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta mangsa lalu merompak mangsa.

“Dalam insiden itu, beberapa orang saksi awam melihat kejadian itu dan merakam video menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak forensik sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan, selain berharap agar tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini