comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Saka Perawan ‘rasuk’ pawagam minggu depan

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (enam dari kiri), Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali (lima dari kanan) dan Ahmad Idham serta barisan pelakon pada majlis tayangan perdana filem Saka Perawan di GSC Starling, baru-baru ini. -FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Filem Saka Perawan terbitan Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) menjadi antara karya pengubat rindu terhadap naskhah berunsur seram komedi yang diselitkan elemen kemasyarakatan.

Pengarah filem Saka Perawan, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengambil keputusan membawa semula genre digemari ramai itu ke layar perak biarpun mengakui berdepan cabaran ketika proses pembikinan.

Ahmad Idham berkata, filem Saka Perawan yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai 27 Jun ini digerakkan oleh penceritaan yang diambil melalui kritikan sosial dan dekat dengan masyarakat semasa.

“Saka Perawan mencabar diri saya sebab tidak pernah buat cerita berkonsepkan sosial atau masyarakat. Sebelum ini, saya ada berbincang dengan pasukan produksi untuk tampil dengan naskhah sebegini, jadi, saya pun ambil keputusan untuk cabar diri sendiri.

“Selain konsep kemasyarakatan yang diketengahkan menerusi filem ini, pada masa sama, saya juga tambahkan impak komersial sebab ia penting untuk lebih menarik minat penonton. Jadi, saya sangat bersyukur jika filem ini mendapat tempat di hati semua yang menonton.

“Saya juga menyerahkan kepada penonton untuk menilai karya terbaharu ini. Bagaimanapun, apa saya boleh katakan, ini adalah perjalanan yang sukar dalam memastikan filem ini dapat disiapkan,” katanya pada sidang media filem Saka Perawan di GSC The Starling, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas kerisauan sebaik filem Saka Perawan ditayangkan, Ahmad Idham yang sebelum ini melakar kejayaan dengan naskhah Anak Perjanjian Syaitan 2 hanya memikirkan kesesuaiannya dengan peredaran masa.

“Saya siapkan skrip filem pada Jun tahun lalu disusuli penggambaran pada November. Ketika itu, saya tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku hari ini.

“Kerisauan saya sepanjang pembikinan filem ini satu sahaja, iaitu, adakah ia masih relevan ketika ditayangkan.

“Tetapi, Alhamdulillah saya lihat kebanyakan yang dipaparkan dalam filem ini masih relevan untuk ditayangkan. Malah, saya sudah jumpa formula tepat dan boleh diguna pakai untuk ditayangkan di pawagam,” katanya.

Ahmad Idham ambil keputusan membawa semula genre seram komedi ke layar perak biarpun berdepan cabaran ketika proses pembikinan. -FOTO NSTP

Ahmad Idham menerapkan semula formula terdahulu seperti menggabungkan barisan pelawak, pelakon baharu dan bintang legenda dalam layar penceritaan.

“Menerusi filem ini, saya ambil pendekatan menggabungkan barisan pelakon baharu yang kita katakan wajah komersial dengan barisan bintang legenda.

“Kalau kita tidak beri peluang kepada pelakon legenda untuk terus berkarya, pada akhirnya, ke mana mereka mahu pergi. Sedangkan bakat mereka sangat mahal dan masih ada sehingga kini,” katanya.

Saka Perawan menampilkan Azlee dan Yassin daripada kumpulan Senario, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak dan Sophia Albarakbah.

Turut beraksi, Mamak Puteh, Atu Zero, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.

Saka Perawan mengisahkan misteri di sebalik penyakit dihidapi nenek berusia 80 tahun yang membuatkan si anak bingung. Setiap kali selepas Maghrib, keadaan nenek akan merosot dan nazak.

Namun, sebaik sahaja mencapai jam 5 pagi, keadaan nenek kembali normal dan hanya terbaring di katil. Selepas hampir sebulan nenek terbaring, doktor perubatan tidak mempunyai jawapan dalam mengesan penyakit dihidapinya.

Ternyata, akibat perbuatan lampau nenek, saka yang dimilikinya perlu diturunkan kepada cucu perempuan yang masih perawan sebelum nenek meninggal dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini