KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdepan kesukaran untuk memberikan kadar dividen yang tinggi berikutan saiz dana yang semakin mengecil disebabkan oleh beberapa siri pengeluaran khas sebelum ini, demikian menurut penganalisis ekonomi.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata sentimen serta keadaan pelaburan domestik dan antarabangsa juga masih lagi tidak menentu dengan risiko kemelesetan ekonomi global masih lagi berlaku.
“Agak sukar kepada KWSP menawarkan kadar dividen yang tinggi tahun ini. Anggaran Simpanan Konvensional dan Shariah adalah di bawah enam peratus iaitu pada julat antara 4.7 hingga 5.5 peratus.
“Namun, kadar sekurang-kurangnya 5.0 peratus masih lagi boleh dicapai. Begitupun, KWSP perlu mengambil kira pelaburan jangka panjang selain risiko ekonomi global jangka pendek dan sederhana,” katanya.
Dividen KWSP pada 2021 adalah sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah, berbanding masing-masing 5.2 peratus dan 4.9 peratus pada 2020.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berkata, dividen KWSP bagi 2022 dijangka sukar untuk melepasi angka 6.0 peratus dengan unjuran berkemungkinan antara 5.0 peratus ke 5.5 peratus, menyamai paras agihan dividen yang diumumkan KWSP pada 2020.
“Hal ini disebabkan oleh kesan COVID-19 masih lagi meninggalkan bekas khususnya dalam aspek simpanan, pengeluaran dan pelaburan KWSP.
“Selain itu, faktor ketidaktentuan ekonomi global dan Malaysia juga masih membelenggu dunia dengan beberapa krisis yang berlaku pada tahun ini terutamanya membabitkan krisis makanan dan kenaikan harga barang yang ketara, kadar faedah yang tinggi serta kesan berterusan inflasi yang berlaku di peringkat global.
“Ini juga termasuk kesan peperangan Russia-Ukraine yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Semua perkara terutamanya faktor luaran ini antara lain menyumbang kepada persekitaran pelaburan dan pasaran adalah amat tidak menentu, yang sedikit sebanyak memberikan kesan kepada simpanan, pengeluaran dan pelaburan KWSP,” katanya.
Anuar Shah Bali berkata, krisis berterusan sepanjang 2022 yang belum berakhir itu boleh menjadi satu petunjuk jelas bahawa ia sememangnya memberikan kesan kepada kadar dividen KWSP.
“Krisis ekonomi berterusan 2022 dan dijangka berlanjutan bahkan dijangka lebih mencabar pada tahun depan,” katanya.
Beliau menjelaskan, memandangkan ketidaktentuan ekonomi global memberikan kesan kepada persekitaran pelaburan dan pasaran, KWSP berdepan dengan satu cabaran besar untuk memenuhi jangkaan pencarum dengan memberikan dividen lebih baik berbanding 2021.
“Namun, realiti yang boleh dijangkakan adalah dividen 2022 ini tidak banyak bezanya dengan dividen pada 2020 dengan mungkin dibezakan sama ada sedikit peningkatan atau pengurangan.
“Agak sukar bagi dividen 2022 untuk mengatasi dividen 2021 berdasarkan situasi semasa ekonomi negara dan dunia,” katanya.– BERITA HARIAN