comscore
Tumpuan :
Nasional

Saifuddin nafi laporan wanita China punca kecoh di KLIA belum pulang ke negara asal

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Isma

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan laporan akhbar tempatan yang mendakwa wanita yang dikaitkan dengan insiden ‘pencerobohan’ menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih belum pulang ke negara asal.

Saifuddin mengesahkan wanita terbabit sudah pulang ke negara asal pada 4 Julai lalu.

“Saya nak jelaskan bahawa akhbar itu cuba untuk memberikan satu laporan kenyataan setelah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberi kenyataan wanita itu sudah keluar (dari negara ini).

Faktanya, wanita itu pulang menerusi syarikat penerbangan Shenzen Airlines ZH9030 jam 8.55 malam, itu dicatatkan dalam rekod imigresen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, akhbar tempatan memetik sumber sebagai mendakwa tiada rekod menunjukkan wanita yang dikenali sebagai Wang Xu telah keluar dari negara ini.

“Rekod (Jabatan Imigresen Malaysia) menunjukkan tarikh masuk adalah pada 29 Jun dan pas masuk akan tamat pada 28 Julai ini.

Berdasarkan rekod memang didapati individu terbabit masih belum keluar dari negara ini,” dakwa sumber.

Pada 5 Julai lalu, Azam mendedahkan dua wanita China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan KLIA baru-baru ini sudah pulang ke negara asal.

Media sebelum ini melaporkan kekecohan berlaku di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dikatakan cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan, 29 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menegur media yang membuat laporan berkenaan.

“Media kena cermat, hati-hati. Jangan petik sumber sembarangan terutama yang menyanggah kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Malangnya, ia memetik sumber yang tidak dinamakan. Tak perlu karang, reka (berita) kerana tak membantu dari segi maklumat,” katanya.

Loading...
Terkini