KUALA LUMPUR : Ardini, nama yang menjadi pilihan pengarah dan pelakon tersohor Sabri Yunus buat isteri tercinta, Angeline Tan.
Menurut Sabri, selepas mengislamkan Angeline di hadapan ibu dan adik-beradiknya pada 26 September lalu, dia hanya diberi masa dua minit untuk memilih nama Islam isterinya pada proses pengesahan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
Sabri berkata, disebabkan kesuntukan waktu dia memilih nama Ardini yang membawa maksud cukup indah.
“Selepas dia bersedia untuk memeluk Islam, saya membawa dia bertemu keluarga dan membantunya mengucapkan dua kalimah syahadah di kediaman saya di Kelantan.
“Kemudian kami ke pejabat agama untuk proses pengesahan. Waktu itu mereka minta kami pilih satu nama Islam untuk didaftarkan.
“Dalam tempoh dua minit saja saya jumpa nama Ardini dan maksudnya adalah isteri yang menyayangi,” katanya.
Pada masa sama, Sabri memberitahu dia selalu berkongsi video ceramah agama Mufti Perlis iaitu Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza kepada isterinya bagi mendalami ilmu agama Islam.
Disebabkan itu juga Sabri berhajat agar pernikahan mereka disempurnakan oleh Dr Maza di Perlis pagi tadi.
“Saya selalu beri video ceramah yang disampaikan Dr Maza. Bagi saya, pendekatan yang dibawakan dalam berkongsi perkara berkaitan agama amat mudah dan lebih difahami.
“Bagi saya dakwahnya tidak menyusahkan, lebih-lebih lagi untuk seseorang yang baru memeluk Islam.
“Beliau mengajar kita untuk melihat agama Islam dengan cara yang terbaik,” katanya.
Sabri pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd Yusof dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Norraya bagaimanapun meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2007.
Sementara itu, Angeline pula mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu.