Tumpuan :
Nasional

Sabah yakin terus nikmati keamanan, kejayaan di bawah TYT baharu

Yang di-Pertuan Agong kurnia surat cara pelantikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.-FOTO: Ihsan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyatakan keyakinan terhadap masa depan negeri itu yang akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di hadapan Tun Musa pada Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau juga menyatakan kesungguhan kerajaan pimpinannya untuk terus berusaha dan berikhtiar memajukan Sabah menerusi kerjasama semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Hajiji (kiri) dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, bergambar bersama Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tusin pada Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, hari ini. – FOTO: Ihsan Pejabat Ketua Menteri

“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacu pembangunan negeri Sabah yang tercinta.

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya.

Musa, 73, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengangkat sumpah jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin bermula hari ini.

Beliau menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, sebelum Hajiji menyampaikan ucapan tahniah dan melafaz ikrar taat setia.

Tun Musa, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengangkat sumpah jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin bermula hari ini. -FOTO: Ihsan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion pada 2024.

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang. Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berjaya menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, kemajuan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi agenda utama kerajaan yang akan dilaksanakan melalui pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.

Selain itu katanya, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi juga tidak diabaikan, malah disediakan dana pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan.

“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun.

“Aspek keselamatan dan ketenteraman awam juga akan terus diutamakan bagi memastikan kesejahteraan berterusan rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafaz ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

“Semoga TYT Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Faridah Tusin serta seluruh ahli keluarga yang tercinta, sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah SWT, dengan nikmat keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini